Rahsia di sebalik warna Radiator Coolant kereta anda akan kita cuba kupas dalam posting ini.
Untuk anda yang biasa dengan coolant, mesti anda perasan kan terdapat beberapa jenis warna coolant yang ada di pasaran
Untuk di Malaysia, kita boleh dapat warna-warna yang berikut yang popular:
- Merah
- Kuning
- Hijau
- Biru
- Pink
Pernah tak anda terfikir, apakah fungsi utama warna-warna pada radiator coolant kereta kita tu ya?
Radiator Coolant for Dummies
- Coolant enjin adalah campuran antara antifreeze/coolant, air de-ionized, perencat kakisan dan juga pewarna dye. Campuran yang betul sangat penting kerana ia membantu menghalang berlaku hakisan dalam komponen penyejukan enjin, meningkatkan takat didih cecair penyejuk dan juga merendahkan takat beku cecair penyejuk. Di Malaysia yang bercuaca khatulistiwa, fungsi antibeku dalam coolant tidak berapa kritikal
- Kebanyakan antifreeze/coolants mengandungi ethylene glycol (EG) – sejenis bahan kimia yang mempunyai bau yang sedikit wangi tetapi beracun kepada manusia dan binatang. Propylene glycol (PG) juga ada digunakan dalam penghasilan coolant tetapi ia kurang berbahaya berbanding bahan kimia EG. Namun kedua-duanya masih bersifat toksik apabila kering dan mesti dimusnahkan dengan betul
- EG & PG meningkatkan takat didih coolant & juga merendahkan takat beku coolant. Namun demikian, sifat menyerap haba cecair glycol tidaklah setanding dengan sifat menyerap dan mengalirkan haba yang dimiliki oleh air. Sebab itu kita perlu untuk membancuh concentrated coolant dengan menggunakan air suling juga. Proses ini sangat penting dan kritikal dalam usaha untuk memelihara jangkahayat enjin kereta dan komponennya. Nisbah antara concenctrated coolant dan air suling yang lazimnya diaplikasikan ialah 50/50. Kalau nak senang boleh juga gunakan premix coolant / ready to use coolant yang dah siap dibancuh dari kilang
- Bahan perencat kakisan yang terkandung di dalam coolant akan terurai apabila sampai masanya setelah digunakan untuk beberapa ketikanya. Oleh sebab yang demikian, para pembuat kenderaan telah mengeluarkan jadual penyelenggaraan untuk menukar coolant yang baharu. Klik jenama kereta ini ( Axia, Myvi, Persona, Vios dan Honda City.) untuk tahu bila nak kena tukar coolant kereta anda
-
3 Asas Teknologi Coolant
- IAT: Inorganic Acid Technology. Teknologi awal coolant & banyak digunakan dalam kereta yang lama circa 1990an dan sebelum. Jangkahayat coolant jenis ni adalah sekitar 2 tahun
- OAT: Organic Acid Technology digunakan pada masa kini kerana ia menawarkan perlindungan kepada semua jenis logam yang bersifat bebas-silikat, dan juga mempunyai jangkahayat yang lebih panjang. Nama komersial yang selalu digunakan adalah Long Life Coolant (LLC), Extended life Coolant (ELC) ataupun Super Long Life Coolant (SLLC). Coolant jenis ini mempunyai jangkahayat servis selama 5 tahun ataupun 240,000km. (Silikat adalah komponen perencat kakisan yang digunakan didalam campuran coolant tradisional. Satu keburukan silikat ini ialah, jika tidak diganti dalam tempoh masa yang ditetapkan, silikat akan menghasilkan mendakan didalam sistem penyejukan enjin kereta. OAT menggunakan perencat yang lebih tahan lama iaitu asid organik – untuk melindungi komponen enjin
- HOAT: Hybrid Organic Acid Technology. Ini juga ada digunakan pada masa kini. Seperti namanya yang Hybrid, coolant teknologi ini adalah campuran gabungan coolant IAT & OAT.


Rahsia di sebalik warna Radiator Coolant kereta anda
Sebenarnya, warna coolant bukanlah satu jeni standard yang perlu dipatuhi oleh pembuat coolant. Ia bukan wajib jika menghasilkan coolant SLLC, mesti menggunakan warna biru. Ada je coolant SLLC yang berwarna Merah Jambu (Pink)
Apa yang penting ialah, kita kena tahu jenis coolant yang sesuai dengan kereta kita
Cara terbaik untuk mengetahui jenis coolant yang sesuai dengan enjin kereta kita?
Buka balik buku manual yang anda dapat secara percuma semasa membeli kereta dulu
Soalan Lazim tentang Coolant
Bila saya perlu periksa paras coolant?
- Terbaik ialah setiap kali kita tukar minyak enjin kereta. Kalau guna Minyak Enjin Mannol Classic, setiap 10,000km
- Jangan lupa periksa juga hos getah radiator coolant. Tengok & picit, rasa dah keras atau dah bocor. Naya Pak Karim kalau coolant hilang gitu je sebab getah bocor. Pishang la tersidai tepi jalan sebab enjin kereta overheat takleh nak start
Boleh tak saya nak buh air paip je dalam radiator tank?
- HANYA UNTUK KECEMASAN!. Kalau kita campur ayaq paip dalam bancuhan coolant dia akan menggalakkan pengaratan dan hakisan berlaku dalam sistem penyejukan enjin kereta kita.
Coolant lama saya warna kuning, boleh ke saya nak tukar warna kuning juga?
- Boleh dan tak boleh.
- Pening dak?
- Haa
- Boleh kalau sama jenama coolant tu
- Tak boleh kalau tak sama jenama. Macam yang kita dah hurai dalam topik rahsia warna coolant kat atas tu, penggunaan warna yang sama bukan lah satu mandatori untuk semua pembuat coolant. Ikut suka depa la nak boh warna apa pun